Sunday, 3 January 2016

20 formula untuk berjaya Dunia Akhirat

As-salam.

Mulakan Tahun 2016 dengan Tazkirah Ini yg di petik dari tulisan-dato-roslan-abd-hamid

Saya jumpa lelaki tua ini...
Selalu lepas Asar dia iktikaf di masjid.
Baca al Quran. Umur 70an. Duduk rumah dekat masjid.
Rumah agam besar dan menarik.
Hartanya disana sini, bangunan komesil tengah bandar. Milikan RM35juta. Pendapatan pasif kutip sewa RM70,000 sebulan. Belanja RM20,000. RM50,000 sedekah dan infaq.
Dia tenang bersendirian melayani anak cucu.
Saya mahu ambil gambar. Dia menolak. katanya malu.
Saya minta formula. Dia berikan 15. Saya catat dan mahu kongsikan. Bolehkah saya kongsikan?


#1 – Pertama, dia kata muliakan ibu bapa. Doa ibubapa adalah segala galanya. Ia tiada hijab terus termakbul. Raikan ibubapa. jaga mereka sepanjang usia. Doakan mereka apabila telah tiada.

#2 – Jaga masa. Ia datang dan berakhir. Urus masa antara 5 waktu solat. Atur kerja dengan sebaik cara. Pada setiap waktu ada perkara yang kita mulakan. Ada di masjid sebelum azan. masuk waktu terus solat. Selepas solat bertebaran berusaha cari rezeki.

#3 – Berdoa dengan khusyuk. Serah pada Allah. Tawakal. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

#4 – Namun begitu kena usaha. Usaha pagi petang siang malam. Usaha sungguh sungguh. Usaha bermula dengan pasang niat. Lepas itu buat buat buat. Sampai dapat. Tidak dapat, usaha lain pula. Masa buat baca al Quran. Maka dia pun nasihatkan saya,
“Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
Rasulullah SAW pernah bertanya “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah UmarAl Khattab r.a telah mengatakan adalah mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.
Ali Abi Talib r.a pun membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul.
Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk kitab Al-Quran. Apabila membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang yang membaca Al-Quran sekali khatam.”
Lelaki tua itu berkata, mulut dia tidak berhenti baca surah al Ikhlas. Kadang kadang sampai 1000 kali sehari. Dan tiap lepas asar masa dia iktikaf dan baca Al Quran.

#5 – Jaga Kesihatan. Jaga kesihatan. jaga kesihatan. Banyak berjalan kaki. Banyak. minum air masak atau air mineral. Jaga makanan.Kata lelaki tua ini lagi:

#6 – Hidup kena buat target. Ada wawasan. Ikat perut. Usah membazir. Mula dengan makanan. Makanan dan minuman mesti habiskan. Usah lagak orang kaya, padahal kita teman pada syaitan. Sentiasa belanja orang. Makan dikedai kecil. Perhatikan kebersihan kedai. Apabila bersih masuk. Disitu kita temui ramai orang susah. Belanja mereka..

#7 – Waktu maghrib usah ada atas jalan. Apabila dalam perjalanan berhenti. Cari masjid. Apabila dirumah, tutup pintu rapat rapat. Malam buang sampah sarap. Basuh pinggan mangkuk. Pastikan semua teratur sebelum tidur. Gunakan waktu antara maghrib dan isyak untuk tuntut ilmu agama. Boleh dengar orang mengajar. Boleh juga baca kitab. Lepas Isyak buat kira kira untung rugi. Siapkan bahan dan pakaian untuk kerja esok hari.

#8 – Usah takut jumpa orang. Walaupun 5 minit mahu berjumpa. Pergi sendiri. Usah pakai posmen apabila depani soal penting. Kita rangkak panjat bangunan. Tunggu. Biarlah kita ambil masa berhari hari perjalanan. yang penting sampaikan dengan tangan sendiri.Tenung mata dan baca “ayat ayat pengasih”. Hehehe. (Nota tambahan: Surah Yusuf: Ayat 4)

#9 – Balik malam, usah cakap penat. Usah cakap letih. Usah cakap sakit. Apabila sakit senyum. Allah sedang luruhkan dosa. Lepas sakit kita lagi bertenaga. Siapakah dalam dunia yang tidak pernah rasa sakit. Jatuh. dihina. Semua termasuk Rasulullah SAW. Namun, baginda ajar kita maafkan semua orang.

#10 – Niat mahu kaya. Niat mahu bantu ramai orang. Niat mahu jadi manusia berguna.Niat itu macam tulis surat. Dulu tiada internet, Macam tulis surat la. Salah tulis alamat akan sampai salah tempatlah surat itu. Maka tulis alamat betul betul. Niat mahu kaya, supaya kita dapat bantu ramai lagi orang. Mahu membahagiakan ramai orang.

#11 – Mula berniaga, usah buat pinjaman. Cukup dengan apa yang ada ditangan. Itu masa kita belajar. Berniaga ini seni. Kita sahaja tahu maksud lakaran. Terbakar tangan biasa. Namun, dengan duit sedikit kita tak rasa sangat panasnya. Usah samakan orang dengan kita. Mereka lain tak serupa.
(Kedai mula mula di mulut sahaja.) Senyum mesra, mulut manis. Usah sombong.sentiasa tegur dan sapa manusia. Kita berniaga dengan manusia.Berniaga dengan siapa sahaja. Andai kata kita kaki surau. Berniaga dengan orang surau tidak jadikan kita kaya. Berniaga dengan semua orang walaupun dia haprak keparat. Yang penting tunai. Ada duit kita cerita. Ada barang kita jual.

#12 – Modal kita adalah daya penarik yang pada diri kita. Daya penarik adalah ciri yang ada dalam diri yang buat orang lain rasa senang dengan kita. Cari ilmu tentang produk. Apabila orang tanya jawab dengan lancar dan petah. Jelas. sebut satu demi satu. Usah ragu ragu dan termanggu. Kongsi bukan jual. Ingat sentiasa kongsi dengan semangat membara. Orang jatuh cinta dengan semangat kita.

#13 – Apa lagi..ahaaa..masa mula niaga biar mendalam dulu. Usah cepat mahu melebar.Fahamkah apa pakcik cakap. Maksudnya biar berjaya satu demi satu. Apabila mula guna modal sendiri, kemudian buat sungguh sungguh sampai berjaya. Lepas dah nampak hasil, mula lebarkan. Masa itu boleh la mahu buat pinjaman. Kita sudah ada ilmu bisnes.
***
(Cukuplah tu. Masa ni Lelaki Tua Berkain Pelikat sudah mahu berhenti. Saya senyum peluk dia dan kata, “baharu ada 13 anak sungai di syurga. Tambah sampai 20″. Saya buat contengan kata dia dalam kepala..

#14 – Kita kena buat promosi apa jua yang kita bisnes. Produk tak boleh bercakap.Sejak bila pula lah produk boleh bercakap. Orang kena tahu apa yang kita buat. Caranya buka bank emosi dengan setiap pelanggan kita. Pelanggan yang puas hati datang lagi. Datang lagi. Sekarang pun Pak Cik masih buat bisnes sikit sikit. Perumahan. Pak Ciik buat lima rumah sekali siap. Siap baharu jual. Pak Cik buat cantik. Jual mahal. Orang beratur mahu beli. Jual barang siap. Usah jual barang dalam laut yang tidak tahu tersangkut pada pukat atau tidak. Tidak berkat begitu.

#15 – Apabila bisnes sudah maju, usah berlagak. Dahulu Pak Cik suka gunting rambut kedai Nawi. Dia tanya “Bagaimana Pak Cik mahu gunting rambut? Pak Cik jawab , “Dengan senyap senyap tapi cantik”. Anak fahamkah apa Pak Cik cakap ni? Jawab saya, “Faham Pak Cik, saya juga gunting rambut disitu sejak umur 15 tahun”. Hehehe. Maksudnya usah gosip sana gosip sini, balun orang sana balun orang sini. Usah peduli rambut atas kepala orang lain. Apa yang utama rambut kita tersisir rapi.Bijak anak ni. Apa nama? Yesss. Dia sudah tanya nama saya. Maknanya saya sudah dapat Mentor Lelaki Tua Berkain Pelikat.

#16 – Anak..ingat kita hidup sungguh sebentar, macam main bola sahaja. 90 minit tamatlah permainan. Itulah lebih kurang bandingan hidup didunia ini. Kita kejar bola. Cuba jaringkan gol. Apabila sampai tiupan wisel, tahulah keputusan. Apabila malaikat maut datang jemput kita, habislah kita. Ada dunia kekal abadi di sana. Usahlah kita berlagak sombong masa berjalan atas bumi Tuhan ini.
Paku yang nampak tidak rapat ke papan, akan diketuk oleh Tuan Rumah. Itulah perumpamaan hidupan. Rapat ke bumi. Sujud pada Tuhan.
Bacalah surah ar Rahman ayat 46, “Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga”

#17 – Pak Cik bersyukur sampai ke tahap ini. Pak cik bersyukur. Syukur itu tandanya apabila Pak Cik rasa tak layak terima, namun Allah berikan juga. Pak Cik habiskan masa dalam waktu kecemasan ini dengan memandang yang memberi nikmat bukan pada nikmatnya. Anakku bersyukurlah. Masih punya masa mengatur tapak menjejaki orang hebat dalam agama.
Dunia ini tidak lebih dari sayap nyamuk sahaja. Usah letak dunia di hati. Tetapi berusahalah supaya dunia dalam genggaman tangan kita. Pak Cik pakai kereta besar, bukan untuk apa namun Pak Cik mahu menikmati apa rasa sayap nyamuk itu. Kalau sayap nyamuk itu sudah rasa nikmatnya, bayangkan nikmat di syurga.

#18 – Anak… Apabila mahu makan nasi, dapatkan beras. Cakap cakap dan sembang sembang tidak hasilkan beras. Rajin usaha. sampai waktu solat. Solat itu tiang agama. Usah terjerat dengan penyakit umat akhir zaman. Mereka cintakan dunia. Takutkan mati. Hakikatnya mati itu pasti. Namun, jangan kerana takutkan mati duduk atas masjid semata mata dan harapkan hidangan turun dari langit.
Tidak boleh begitu. Cuba beri masa untuk semua perkara. Umur macam Pak Cik sekarang, hari hari biasa, 6 jam tidur. 6 jam bekerja. 6 jam duduk atas masjid. 6 jam bersama anak cucu cicit. Anak, ada Pak Cik ingat, Nabi SAW sebut, “Peliharalah lidahmu, luaskan rumahmu dan tangislah dosamu”. Cuba anak check siapa perawinya. (nota: Hadis riwayat at Tirmizi)

#19 – Anakku kita bukan orang sufi. Mereka lain. Kita orang biasa,
“Apabila kemiskinan datang bertandang mengetuk di pintu, kasih sayang segera terbang keluar ikut jendela. Saat itu sahabat dekat mula menjauh, kesusahan bagaikan banjir besar menghanyutkan segalanya pergi dan ianya hanya kembali apabila kita kaya semula”
Rajinlah berusaha. Wang bukan segala galanya. Namun banyak perkara dalam dunia sekarang perlukan wang anakku. Wang bukan raja. Wang adalah hamba perkasa yang memudahkan banyak perkara. ramai orang sedikit sedikit sebut Tuhan, pada hal hati mereka bersimpang simpang.

#20 – Cuba sedaya upaya supaya ada wuduk pada tubuh kita. Ianya adalah cara terbaik cucikan diri. Cuba mandi setiap kali sebelum masuk waktu. Tidak dapat kerana banyak masa di pejabat, mandi 3 kali sehari. Sebelum subuh, sebelum maghrib dan sebelum isya’. InsyaAllah kita rasa bersih dan tenang dari segi luaran. Sewaktu berdiri mahu solat, rasakan ketakutan luar biasa. Kita sedang menghadap Allah Raja dan Tuan kepada segala Raja...

No comments:

Post a Comment