Saturday, 11 April 2020

Pulut Gaul Kelapa dan Ikan Masin

11 April 2020

Pagi ni goreng karipap segera.  Masak nasi puteh bersama ikan goreng juga sambal pauh (mangga telor).  Lepas tu habiskan stok pulut sebab anak minta masak pulut LAGI.  Kita buat pulut ikan masin.  Pulut putih digaul kelapa parut dan makan bersama ikan masin. 

Basuh bersih pulut dan rendam sekejab, biasa sejam atau 2 jam.   Sementara tunggu beras kembang, kita proses kelapa parut dan santan.

Kita ikut tips atau petua  untuk bagi pulut tahan lama dan lambat basi.  Santan kelapa (pekat) yang dicampur sedikit garam dimasak hingga mendidih, jangan lupa kacau ya.  Lepas mendidih terus tutup api.  Ahhh satu lagi masa masak santan ni guna api perlahan sahaja.  Biarkan sejuk. 

Lepas tu kita proses kelapa parut pula.  Masukkan air dalam periuk mengukus, tunggu hingga mendidih.  Gaul kelapa parut dengan sedikit garam.  Lepas tu masukkan ke dalam pengukus, kukus sekejab.  Angkat dan sejukkan.

Tos beras pulut, kukus ke dalam pengukus tadi, tutup rapat.  Biarkan hingga keluar wap atau asap berkepul-kepul.  Perlahankan api, angkat pulut.  Periksa paras air untuk pastikan air cukup untuk kukusan kali ke dua, jika air kurang, tambah air ya. 

Gaulkan pulut bersama santan yang telah dimasak tadi.  Pastikan gaul rata, sebab pulut ni sifat dia melekat dan akan jadi berketul.  Oleh itu pastikan kita pecahkan ketulan pulut.  Bila selesai masukkan kembali pulut ke dalam periuk pengukus.  Kukus kali ke dua. Tunggu hingga keluar wap asap berkepul.  Pulut ni masak sekejab je dalam sepuluh minit.  Bila dah keluar wap, tutup api.  Angkat pulut.  Siap.  Biarkan sejuk sedikit, lepas tu boleh lah gaul dengan kelapa parut tadi.

Hah jangan lupa goreng ikan masin, nyum nyum sedap.  Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment